BULETIN ANULAE

LANJUTAN UMUR BERSARA: JPA PERLU KAJI TERLEBIH DAHULU

Arkib
Bernama
12/9/2011
PUTRAJAYA, 12 Sept (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu membuat kajian terlebih dahulu berhubung cadangan melanjutkan umur persaraan penjawat awam daripada 58 kepada 60 tahun.


Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Abu Bakar Abdullah berkata ini kerana JPA harus mengambil kira kesannya terhadap tenaga kerja baru, terutama pelajar tajaannya yang akan menamatkan pengajian.


"JPA banyak membuat tajaan kepada penuntut yang cemerlang daripada semasa ke semasa dan pada masa yang sama kita juga mengusahakan semua pelajar terbabit memperolehi pekerjaan, sama ada dalam sektor awam ataupun swasta," katanya kepada Bernama, di sini.


Abu Bakar diminta mengulas cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang antara lain berpandangan 'orang lama' boleh menyumbang kepada kecekapan sistem penyampaian bersandarkan pengalaman mereka.


Mengulas lanjut, Abu Bakar yang secara peribadinya bersetuju dengan cadangan itu, berkata di negara maju umur persaraan penjawat awam adalah antara 60 dan 65 tahun.


"Kita bersara pada umur 58 tahun adalah lebih kurang sama macam Bangladesh dan negara yang penjawat awamnya bersara pada umur 58 semakin kurang.


"Jika berdasarkan kepada standard dan tahap kesihatan kita, patut bersara pada umur 60 tahun. Ini yang dikatakan negara membangun dengan maju," katanya.


Beliau juga berpandangan cadangan tersebut wajar dipertimbang memandangkan Malaysia bakal menjadi negara maju dalam tempoh sembilan tahun lagi menerusi Wawasan 2020.


"Di negara maju umur bersara adalah 65," katanya.


Bagaimanapun katanya, jika cadangan itu dilaksana penjawat awam akan diberi pilihan sama ada untuk bersara pada umur 58 atau 60 tahun.


"Sesiapa yang nak kerja sehingga umur 60 tahun, mereka boleh terima opsyen tersebut, dan kalau nak bersara pada umur 58 pun boleh, tidak ada paksaan," katanya.


-- BERNAMA

PERMOHONAN PINJAMAN PERUMAHAN SECARA ON-LINE DI PORTAL SPPB PADA 2012

Bernama
18/8/2011
PUTRAJAYA, 17 Ogos (Bernama) -- Mulai tahun depan, penjawat awam yang memohon pinjaman melalui Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP) Perbendaharaan Malaysia perlu mengisi borang secara on-line (atas talian) menggunakan portal Sistem Pinjaman Perumahan Bersepadu (SPPB).

Setiausaha BPP Datuk Shuib Md Yusop berkata melalui portal itu, mereka akan mendapat kelulusan secara bersyarat dengan serta merta apabila permohonan itu diisi dengan lengkap.

"SPPB ini mudah diisi. Ini merupakan salah satu inovasi yang dibina sendiri BPP tanpa menggunakan konsultan luar. Malah kita mampu menjimatkan lebih sejuta setahun wang kerajaan antaranya untuk kos mencetak borang penyata tahunan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran portal SPPB yang disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) Datuk Nozirah Bahari di sini Rabu.

Shuib berkata setelah menerima kelulusan bersyarat itu, pemohon boleh membuat pembayaran wang proses melalui perbankan internet berbanding sebelum ini yang menggunakan bayaran melalui wang pos atau 'bank draft'.

Peminjam seterusnya diberikan tempoh dua minggu untuk menghantar dokumen sokongan yang berkaitan untuk tujuan pemprosesan, dan apabila kelulusan sepenuhnya diperoleh, pemohon akan dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Menurutnya sebanyak 400 peminjam telah mengemukakan permohonan melalui portal itu sejak ia mula digunakan 10 Ogos lepas dan pihaknya mensasarkan lebih ramai penjawat awam akan menggunakannya selepas ini.

Melalui portal itu yang boleh dilayari melalui https://sppb.treasury.gov.my, peminjam juga boleh menyemak status bayaran balik, bayaran kemajuan, penghantaran hak milik, baki pinjaman, status permohonan dan penyata tahunan.

Setakat ini portal ini hanya boleh menampung sebanyak 1,000 peminjam sehari dan pihaknya memberi jaminan bahawa sistem ini selamat untuk digunakan kerana hanya boleh diakses oleh pemohon sahaja, kata beliau.

Katanya, BPP yang ditubuhkan pada 1970 menerima permohonan sebanyak 3,200 sebulan daripada penjawat awam dengan pemberian pinjaman antara tujuh hingga lapan bilion setahun.

CUEPACS MAHU KERAJAAN LAKSANA SKIM INSURANS NYAWA UNTUK PENJAWAT AGENSI PENGUATKUASA

Bernama
22 Julai, 2011 16:06 PM

KOTA BAHARU, 22 Julai (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan melaksanakan pemberian skim insurans nyawa untuk penjawat awam yang berkhidmat di agensi penguatkuasaan undang-undang.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata ini bagi memastikan kebajikan mereka terbela sekiranya mereka ditimpa kemalangan atau mengalami kecederaan ketika menjalankan tugas mereka yang sentiasa berdepan dengan pelbagai risiko.

"Sebab itu kita minta agar kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam menimbang untuk memberikan skim insurans nyawa kepada kakitangan di agensi pelaksana penguatkuasaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Imigresen dan Pihak Berkuasa Tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Seminar/Bengkel Kepimpinan Generasi Muda anjuran Jawatankuasa Pendidikan Kesatuan Kebangsaan Pekerja Penguasa-Penguasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae) di sini, Jumaat. Turut hadir Presiden Anulae, Azih Muda.

Omar mengulas insiden seorang penguatkuasa Majlis Daerah Hulu Selangor, G. Sivarajah, 24, yang patah kaki kirinya apabila dirempuh kenderaan milik seorang penjual durian yang tiba-tiba mengamuk apabila barangan jualannya dirampas dalam operasi sita semalam.

Katanya ketika ini penjawat awam hanya mendapat pembelaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) jika mengalami kecacatan kekal ketika bertugas.

Beliau berkata Cuepacs memandang serius masalah berkenaan kerana bukan semua penjawat awam mempunyai gaji yang tinggi dan mampu membeli skim insurans nyawa untuk diri mereka.

"Ini satu pembelaan kepada kakitangan kerajaan seperti ini dan saya harap pihak kerajaan melalui JPA dan ketua jabatan masing-masing dapat bersama-sama Cuepacs untuk merealisasikan hasrat ini," katanya.

Sementara itu, katanya Cuepacs meminta JPA mengkaji semula gred jawatan pengarah agensi kerajaan di setiap negeri yang kini berbeza di mana ada antaranya berada di gred rendah dan tidak setaraf memegang jawatan yang mempunyai beban tugas tinggi itu.

"Mereka sekurang-kurangnya mesti bergred 54 iaitu JUSA C ke atas dan apa yang kita dapati ada pengarah itu bergred 48 dan terpaksa menggalas tugas yang besar," katanya.

Selain itu, Omar berkata Cuepacs mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam kerana siasatan mendapati tiada yang terbabit menyertai perhimpunan haram di ibu negara pada 9 Julai lepas.

"Ini membuktikan kakitangan kerajaan menyokong kepimpinan kerajaan yang ada dan menolak sebarang perhimpunan haram untuk menjatuhkan kerajaan sah yang dipilih melalui pilihan raya yang adil," katanya.

ANULAE DBKL MINTA DBKL PERCEPATKAN PROSES PENYUSUNAN SEMULA 837 JAWATAN

Bernama
7/7/2011
KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempercepatkan proses penyusunan semula 837 jawatannya.
Pengerusi ANULAE (Pegawai) DBKL Zakaria Abdullah berkata kesemua jawatan, yang sepatutnya dikuatkuasakan pelaksanaannya pada Disember lepas, mengalami proses penyusunan yang lembap ekoran sikap tidak berpuas hati segelintir pegawai atasan DBKL.
"Pegawai dan kakitangan DBKL tidak perlu memberi alasan untuk kecewa dan rasa terpinggir biarpun tidak mendapat kenaikan pangkat. Kami yakin mereka juga patut bersyukur atas nikmat yang mereka kecapi selama ini," katanya pada sidang media di Wisma Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) di sini, Rabu.
Selain ANULAE (Pegawai) yang melibatkan Gred 17 ke atas, dua lagi kesatuan di bawah DBKL yang menganggotai Cuepacs ialah ANULAE (Pekerja) bagi Gred 1-16 serta Kesatuan Pekerja-pekerja DBKL (KPPDBKL).
Anulae dianggotai seramai 600 ahli daripada pihak berkuasa tempatan dan mempunyai 29 cawangan seluruh Semenanjung.
Zakaria, yang juga Penolong Setiausaha ANULAE Semenanjung Malaysia, meminta 12,000 pekerja DBKL tidak menyertai perhimpunan 9 Julai ini.
"Kita sebagai penjawat awam harus memegang kepada surat akujanji yang telah ditandatangani," katanya.

 

PBT TIDAK AKAN TAKUT - Anulae 

Utusan Malaysia
8/8/2009


KOTA BHARU 8 Ogos - Pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor akan terus bertegas dengan menghalang mana-mana peniaga daripada menjual arak sekiranya tidak mempunyai lesen sah walaupun ada ahli politik cuba menghalang tindakan sedemikian.
Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Penguasa Tempatan (Anulae) Semenanjung, Azih Muda menegaskan, anggota PBT Selangor yang memikul tanggungjawab akan merampas arak yang dijual sekiranya ada pihak didapati melanggar undang-undang itu.
Beliau berkata, sekiranya PBT tunduk kepada tindakan tersebut, ia akan memberi gambaran kepada orang awam bahawa pihak berkuasa sendiri telah melanggar undang-undang yang diwujudkan demi kepentingan umum.
"Kita tidak akan takut, malah akan terus menjalankan tugas untuk menguatkuasakan undang-undang yang ada.
"Kita berjanji akan terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dengan memastikan bahan-bahan terlarang ini tidak dijual di mana-mana premis tanpa lesen yang sah," katanya.
Azih bercakap kepada pemberita selepas seminar Pemantapan Kerjaya Anggota Pihak Berkuasa Tempatan di Pusat Dagangan Kelantan (KTC) di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Exco Selangor, Ronnie Liu yang mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memulangkan semula minuman keras dari sebuah kedai serbaneka di Jalan Liku, Seksyen 8, Shah Alam, 30 Julai lepas setelah merampasnya dalam satu operasi yang dijalankan ke atas kedai itu sehari sebelumnya.
Rampasan oleh Jabatan Perlesenan dan Penguatkuasaan MBSA itu dibuat selepas menerima aduan daripada penduduk setempat sejak beberapa bulan lalu yang tidak berpuas hati kerana mendakwa premis berkenaan menjual minuman keras kepada umat Islam.
Katanya, tindakan Ronnie itu sebenarnya mencabul hak penjawat awam atau penguat kuasa undang-undang dalam melaksanakan tugas mereka.
Mengulas lanjut, katanya lagi, ia menyebabkan PBT berada dalam dua situasi iaitu sama ada untuk telus menjalankan tugas atau pun terpaksa mengikut arahan pemimpin yang bertindak atas kepentingan peribadi.
"Beliau (Ronnie) tidak sepatutnya mencampuraduk kuasa politik yang ada padanya dengan urusan harian penjawat awam kerana ia amat tidak beretika.
"Kesatuan amat terkilan dengan cara beliau dan berharap ia tidak berulang lagi tidak kira di Selangor atau mana-mana negeri," tambahnya.